Sejarah Bandar Kluang
Kluang merupakan nama sebuah
bandar dan daerah yang terletak lebih kurang di tengah negeri Johor. Ia
terletak 105 km di utara Johor Bahru, tenggara Batu Pahat, barat Mersing dan
selatan Segamat. Bilangan penduduk daerah Kluang kini melebihi 250,000 orang dan
kawasan bandar itu sendiri mempunyai 140,000 penduduk. Koordinat geografinya
ialah: 2°2′01″U, 103°19′10″T
Nama Kluang berasal daripada
perkataan Melayu 'keluang', yang bermaksud sejenis kelawar besar ataupun
kelawar buah. Haiwan-haiwan sebegini pernah wujud dalam bilangan yang banyak di
daerah Kluang beberapa dekad yang lalu; tetapi kini hampir tiada lagi disebabkan
aktiviti pemburuan dan pemusnahan habitat semulajadinya.
Asal-Usul Pembukaan Kluang
Orang-orang tua di Kluang bersependapat bahawa nama bandar ini terbit daripada nama sejenis mamalia yang terbang di waktu malam mencari buah-buahan, iaitu kluang ataupun Malayan Flying Fox (Fteropus Vampyrus Linnaeus) dianggap sebagai sejenis kelawar yang terbesar di dunia. Ada juga cerita yang mengisahkan begitu banyak sekali jumlah binatang yang menyerang kebun buah-buahan sehingga terpaksa dipanggil dukun bagi menghalau mereka, tetapi cerita ini tidak dapat disahkan oleh orang-orang lama di sini. Yang jelas sebuah perkampungan bernama Kluang Kampung telah wujud sebelum tahun 1910 berdekatan bandar Kluang ini. Kehadiran kelawar-kelawar besar ini mungkin disebabkan oleh penebangan hutan di tengah-tengah johor bagi tujuan membina jalan kereta api dan juga penempatan di Kluang.
Menurut Datuk Haji Mohd Said,
seorang tokoh penulisan johor yang terkenal, Kluang mendapat namanya daripada
Sungai Kluang, tetapi pada hakikatnya tidak ramai orang yang tahu adanya sungai
ini di Kluang. Sungai Melantai kadang-kala dipanggil sedemikian keranan
melintasi Kluang dan Kampung. Dalam peta topo moden tercatat nama Sungai Kluang
pada sebuah cawangan Sungai Mengkibol yang berpunca dari kaki bukit Gunung
Lambak.
Orang jakun ataupun biasa
dipanggil orang Ulu oleh orang Melayu Endau merupakan penghuni kawasan hutan
rimba dipedalaman johor ini. Hanry Kale yang telah menjelajahi kawasan ini
telah menyusuri Sungai Endau, Sembrong, Seiai, Kahang dan cawangannya bersama
rombongannya pada tahun 1892 dalam rangka menetapkan sempadan antara johor
dengan Pahang.
Hanry Kale dan pembantunya HI
Kelsal telah menemui orang jakun bekerja dengan orang Melayu Endau dalam usaha
mencari rotan terutamanya dari jenis Sentawa, kapur barus di kawasan Kahang,
gutta perca (getah taban) danar dan hasil hutan yang lain. Hasil rotan di bawa
ke Endau dan daripada situ dijual di Singapura.
Mereka juga menyatakan bahawa
telah terdapat penempatan-penempatan orang Melayu ditebing sungai
Sembrong-Endau dan Kahang di mana penghulunya bernama Che Ma Hassain ( Encik Mat
Hussain ) banyak membantu Kale dan rakan-rakannya. Menurut Kale lagi , sebuah
penempatan bernama Londang 75 km daripada stesen kerajaan di Kuala Sembrong
didiami oleh Penghulu Che Ma Dagang bersama-sama beberapa orang Melayu. Londang
terletak berhampiran bandar Kluang lebih kurang 10 km ke utaranya di pertemuan
Sungai Paloh dan Sungai Melantai-Mengkibol dengan Sungai Sembrong. Kawasan di
antara Londang dengan kawasan Sungai Melantai (Meletir) ialah kawasan bandar
Kluang sekarang ini. Ia tidak didiami orang kecuali beberapa orang jakun yang
merayau-rayau di sini. Terdapat juga sebatang lorong hutan yang menghubungi
kawasan ini dengan kawasan Sembrong Batu Pahat yang sudah pun diterokai oleh
pekebun-pekebun gambir dan lada hitam Cina. Oleh itu, pada tahun 1892 belum
wujud lagi sebuah penempatan bernama Kluang jika berpandukan kepda pemerhatian Kale
dan Kelsall. Kale juga menyebut bahawa 'trace' jalan kereta api Johor merentasi
kawasan berpaya ini.
Penanam-penanam gambir Teochew yang telah membuka kangkar-kangkar di sungai-sungai Johor, Sungai Skudai, Sungai Sedih Sungai Sembrong, Sungai batu Pahat Sungai Muar dan lain-lain nampaknya tidak berminat mendirikan kangkar di kawasan yang dibincangkan ini kerana masih diliputi hutan dan paya tropika yang tebal. Penempatan paling hampir, dibuka sebelum 1893 ialah kawasan pinggiran di Sungai Sembrong-Batu Pahat.
Di Sungai Kahang terdapat
sebuah kangkar yang dipercayai didirikan kemudian daripada tahun 1893.
Bagaimanapun di sekitar tapak bandar Kluang sudah terdiri penempatan-penempatan
kecil didiami orang Melayu dan jakun yang berfungsi sebagai pengkalan memungut
hasil hutan terutamanya rotan yang dikenali sebagai Londang dan Pengkalan Pan.
Tempat terakhir di sebelah tebing kanan Sungai Sembrong, 20 km dari Kuala
Kahang di mana Kale telah menemui seorang peniaga Cina dan beberapa orang
Melayu.
Pembukaan Kluang berhubung
rapat dengan usaha pembinaan jalan kereta api Johor. Kerajaan Negeri-Negeri Melayu
Bersekutu (NMB) di bawah Swetthenham ketika itu bercadang menyambung sistem
kereta api Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) dengan Singapura. Menjelang
penghujung abad ke-19 jalan kereta api dari Kuala Lumpur sedang dibina
merentasi sempadan Johor, sementara di Singapura cadangan membina jajaran
landasan ke Selat Tebrau telah diluluskan. Oleh kerana terdapat sedikit masalah
tentang siapakah yang harus menguasai jalan kereta api ini, maka pada tahun
1904 satu persefahaman kereta api diwujudkan yang melibatkan penguasaan bersama
di bawah satu lembaga yang terdiri daripada pegawai-pegawai Johor dan NMB. Pada
1909 jalan kereta api johor dibuka untuk laluan. Kdth Sinclair berpendapat
bahawa pembinaan landasan ini telah membawa banyak kesan perubahan, termasuk
penghijrahan tenaga buruh dari ladang-ladang getah ke kawasan pembinaan jalan
kereta api kerana kadar upah yang ditawarkan oleh kontraktor-kontraktor jalan
kereta api lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh pihak ladang.
Dengan terbinanya jalan kereta
api ini, kawasan-kawasan di utara dan tengah johor mula dihujani kemasukan
modal luar terutamanya dari Negeri-negeri Selat dan Britain. Harga getah yang
semakin meningkat naik dan memuncak pada tahun 1910,mendorong syarikat-syarikat
getah melabur dan mendapatkan konsesi tanah bagi tujuan menanam getah. Tambahan
pula, stesen-stesen kereta api kecil telah didirikan sepanjang perjalanan dari
utara ke selatan. ini termasuklah stesen-stesen Batu Anam, Segamat, Labis, Paloh,
Chamek, Niyor, Mengkibol, Rengam, Layang-layang, Kulai, Tebrau dan terminal
utamanya di Johor Bahru.
Memandangkan tanah hutan di
sekitar Megkibol sedang diusahakan bagi penanaman getah maka NMB bercadang
untuk membina sebuah stesen kereta api di kawasan tersebut dalam tahun 1910.
Cadangan ini dipersetujui oleh pihak Berkuasa di Johor Bahru dan dengan
demikian stesen kereta api yang dinamakan Stesen Kluang siap di bina pada tahun
berikutnya.
Pada tahun 1910 juga sistem
pemilikan tanah telah disesuaikan dengan sistem tanah NMB apabila Enakmen Tanah
Johor dikuatkuasakan sejajar dengan matlamat kerajaan Johor memodenkan jentera
pentadbiran tanah dan bagi menarik pelaburan ke Johor. Kerajaan juga menawarkan
sewa dan premium tanah yang rendah kepada pengusaha-pengusaha. Bagi 6 tahun
yang pertama sewa tahunannya ialah 50 sen seekar selanjutnya $ 2.50 setahun
dengan mendapat rebet $1.50 untuk tanah yang ditanam dengan kelapa dan pokok
buah-buahan. Premium ialah $3.00 seekar sekiranya tanah menghadap jalan raya dan
$2.00 sebaliknya.
Orang Melayu yang terawal
memohon tanah di Kluang terdiri daripada Penghulu Dollah Ariff dengan anak
buahnya daripada Kluang Kampung. Penghulu dipercayai mewakili anak buahnya yang
berasal dari keturunan Inderagiri yang juga dari Endau. Semua permohonan mereka
diluluskan kerana menurut pihak berkuasa mereka ini memang telah lama menetap
di kawasan tersebut. Boleh dikatakan bahawa mereka merupakan antara
penghuni-penghuni yang terawal di Kluang. Keturunan mereka yang masih menetap
di Kluang menyatakan bahawa kebanyakan mereka berasal dari sebuah penempatan
bernama Tanjung Gemuk di Endau dan Inderagiri adalah baik dan dirapatkan lagi
melalui ikatan perkahwinan. Rekod Commissioner Of Land And Mines (CLM)
menunjukkan orang Cina adalah kumpulan yang memulakan kegiatan berkebun di
sini. Mereka mendapatkan tanah di sekitar stesen Mengkibol dan Nyior tidak jauh
dari Kluang. Di antara taukeh-taukeh ini ialah Goh Yew Sing, Lew Lye Sang dan
Leong Fong Chew dari Singapura yang membeli tanah seluas 1,200 ekar di Nyior.
Taukeh Yow Ngan Pan telah memohon tanah seluas 2,000 ekar di Mengkibol. Pada
tahun berikutnya Yeo Kim Swee dari Riverside, Melaka telah mengusahakan
penanaman getah dan ubi kayu di tempat yang sama.
Dalam tahun 1911 juga sebuah
balai polis telah didirikan bagi mempertingkatkan perkhidmatan polis di Kluang
di samping mengawal keselamatan memandangkan semakin ramai buruh-buruh yang
bekerja menebang dan membersihkan hutan di Kluang bagi membina jalan antara
Batu Pahat dengan Mersing. Untuk kemudahan pegawai-pegawai kerajaan dan
pengusaha-pengusaha ladang getah Eropah sebuah 'Rest House' didirikan
berhampiran stesen Kereta api Kluang. Orang-orang Cina pula telah mula
mendirikan kedai-kedai atap dan beberapa orang Melayu telah menyewakan rumah-rumah
kedai ini kepada peniaga Cina.
Kemajuan Kluang
Bandar Kluang telah wujud
seawal tahun 1910. Polisi Kerajaan Negeri menggariskan rancangan membangunkan
tengah Johor dan Kluang sebagai pusat komunikasi telah manjadikan Kluang
sebagai pusat pertubuhan baru. Pembukaan ladang-ladang dan pembinaan landasan
kereta api mendorong lebih ramai penduduk berhijrahdan mendiami Bandar Kluang
Pada tahun 1920, dengan
mempunyai 5,000 orang penduduk, Lembaga Bandaran Kluang telah ditubuhkan dengan
diketuai oleh seorang Merinyu Kesihatan. Mulai tahun 1932, Pegawai Daerah
Kluang menyandang jawatan Presiden Lembaga Bandaran Kluang.
Dalam tahun 1957, Lembaga
Bandaran Kluang telah dinaik taraf kepada Majlis Bandaran Kluang dengan Pegawai
Daerah Kluang sebagai Yang Dipertua. Lima tahun kemudian iaitu pada tahun 1962,
5 buah Majlis Tempatan telah ditubuhkan iaitu Majlis Tempatan Kampong Paya,
Majlis Tempatan Kampong Gajah, Majlis Tempatan Sri Lalang, Majlis Tempatan
Chamek dan Majlis Tempatan Paloh.
Dengan langkah penyusunan
semula Majlis Tempatan, maka pada 1.1.1977 Majlis Bandaran Kluang telah
disatukan dengan 5 Majlis Tempatan yang lain bagi membentuk Majlis Daerah
Kluang Utara dibawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Pentadbiran Majlis
Daerah Kluang Utara telah diperluaskan dengan merangkumi kawasan seluas 126.5
km persegi dengan penduduknya melebihi 65 000 orang.
Bandar Kluang terus maju di
bawah pentadbran Majlis Daerah Kluang Utara. Dengan perlaksanaan projek-projek
pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun dan komitmen Kerajaan Negeri
untuk membangunkan Daerah Kluang, peranan Bandar Kluang sebagai pusat
pertumbuhan semakin nyata. Sektor-sektor ekonomi semakin kompleks perniagaan di
Pusat bandar Kluang, pembangunan taman-taman perumahan baru dan pembukaan
kawasan perindustrian menjadi penyumbang utama kepada perkembangan Bandar
Kluang. Bilangan premis kediaman, perdagangan dan perindustrian bertambah
dengan pesat. Bilangan keseluruhan pegangan terus meningkat dari 20,500 dalam
tahun 1988 kepada 42,455 pegangan dalam tahun 2000. Peningkatan bilangan
pegangan ini terus menyumbang kepada pertambahan Hasil majlis dari RM 7.72 juta
dalam tahun 1988 meningkat kepada RM 16.67 juta dalam tahun 2000.
Pembangunan sektor perdagangan
dan perindustrian pula telah menjadikan Kluang berkembang dengan pesat. Selain
penempatan awal penduduk yang sediada. taman-taman perumahan baru terus
dibangunkan. Pembinaan sebagai destinasi baru pelabur tempatan dan luar negara.
Lebih dari 500 buah kilang berbagai jenis yang mengeluarkan produk untuk
kegunaan tempatan dan ekspot memenuhi 9 buah kawasan perindustrian utama. Di
antara kilang-kilang gergasi yang sedang beoperasi ialah kilang membuat jubin
bermutu tinggi yang terbesar di Malaysia disamping produk letrik , elektronik dan
pakaian berjenama antarabangsa untuk pasaran dalam negeri dan ekspot.
Perkembangan sektor perumahan,
industri, perdagangan dan perkhidmatan telah mewujudkan banyak peluang-peluang
pekerjaan yang menjadi punca kebanjiran penduduk di Bandar Kluang. Pada tahun
2000, penduduk Kluang telah meningkat kepada 155,000 orang. Untuk memenuhi
keperluan penduduk yang bertambah, penyediaan kemudahan asas terus
dipertingkatkan. Selain daripada menaik taraf jalan-jalan raya utama dan
rangkaian jalan bandar, sebuah terminal pengangkutan awam berharga RM 5 juta
telah dibina. Dibawah program pengswastaan Kerajaan Negeri,sebuah stadium sukan
berharga RM24 juta juga telah dibina.
Pembangunan pesat Bandar
Kluang tidak dapat dibendung lagi. Penduduk bandar Kluang terus menagih perkhidmatan
yang cekap dan berkesan. Struktur pentadbiran Majlis Daerah Kluang Utara
memerlukan perubahan. Sebagai langkah merintis ke arah perubahan corak
pengurusannya, jawatan Yang Dipertua telah diisi sepenuh masa oleh seorang
pegawai Tadbir Negeri Johor mulai 1.3.1999. Setelah memenuhi kriteria yang
telah ditetapkan oleh Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan Malaysia dengan
persetujuan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia maka Majlis Mesyuarat Kerajaan
Negeri melalui Ringkasan Mesyuarat Bil. 86/2001 bertarikh 31 januari 2001 telah
mengambil keputusan menaikkan taraf Majlis Daerah Kluang Utara kepada Majlis
Perbandaran yang dikenali dengan nama Majlis Perbandaran Kluang.
No comments:
Post a Comment